Perbezaan antara Injil dan Bible Injil

Perkataan "Injil" di dalam al-Quran tidak merujuk kepada Kitab Bible kini yang dimiliki dan dibaca oleh penganut-penganut agama Kristian, ataupun keempat-empat Gospel. Perkataan "Injil" yang digunakan dalam Al-Qur'an, Hadith, dan dokumen-dokumen Islam yang awal merujuk khas kepada wahyu Allah kepada Nabi Isa a.s, dan tidak merujuk kepada "Bible" yang dipegang oleh agama Kristian masa kini.

Di dalam al-Quran, dengan jelas menyatakan bahawa manusia telah mentahrif (mengubah, iaitu menokok-tambah dan mengurangi) sebahagian kitab Injil, khususnya rujukan-rujukan yang mengatakan bahawa Nabi Isa anak tuhan oleh pengikut-pengikutnya, serta peristiwa-peristiwa yang terjadi selepas Nabi Isa diangkat ke langit.

Berdasarkan ajaran Islam, Nabi Isa tidak meninggal dunia sewaktu disalibkan dan kemudian dihidupkan semula (seperti yang dikatakan dalam kitab Bible). Umat Islam meyakini bahawa Nabi Isa a.s telah diangkat naik ke langit oleh Allah Taala (beliau tidak pernah disalibkan) dan akan turun kembali di akhir zaman sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.